Monday, October 5, 2009

Pantun Budi

Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung

Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Jika belayar ke tanah Aceh
Singgah dulu di kota Deli
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi

Baik-baik bertanam padi
Jangan sampai dimakan rusa
Baik-baik termakan budi
Jangan sampai badan binasa

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa



Saturday, August 29, 2009

KELEBIHAN RAMADHAN


Di sini diibincangkan fadilat Ramadan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:

PERTAMA : Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW: "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam."
Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan keistimewaan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan yang dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.

KEDUA : Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari : Sesungguhnya dikatakan pada syurga, tidak dikatakan bagi syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

KETIGA : Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya."
Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

KEEMPAT : Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: "Puasa merupakan perisai." Dan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat."
Ini kerana, puasa mempunyai kelebihan yang tersendiri dan pada ghalibnya (kebiasaannya), mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

KELIMA : Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada azab Allah.
Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

KEENAM : Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: "Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

KETUJUH : Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak".
Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.

KELAPAN : Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: "Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan".
Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa, sekalipun mereka diam dan tidur.

KESEMBILAN : Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam."
Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.

KESEPULUH : Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: "Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa."
Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.
Kesebelas: Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: "Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya".
Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.
Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal. Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.

Tuesday, August 25, 2009

Revolusi ICT dalam Pendidikan Negara

Dipetik daripada Utusan Malaysia 21 Ogos 2009

MUAR 20 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan negara perlu direvolusikan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membina modal insan yang berfikiran lebih kreatif dan inovatif.
Menurutnya, kemajuan teknologi terkini mampu menambah baik keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar.
"Melalui cara ini kita bukan sahaja dapat menampilkan pembaharuan dalam kaedah pembelajaran tetapi juga membuka gerbang pengetahuan yang luas kepada murid yang seterusnya menggalakkan pembinaan pemikiran kreatif dan inovatif,"katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Kampus ASTRO Bersama Komuniti Sekolah bagi Semenanjung Malaysia di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengerusi ASTRO, Datuk Badri Masri.
Muhyiddin berkata, revolusi tersebut boleh dilaksanakan dengan kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta yang mempunyai kepakaran serta bersedia menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.
"Lebih-lebih lagi dengan kepesatan kemajuan teknologi, sebenarnya banyak syarikat swasta yang boleh tampil membantu kerajaan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan serta menambah baik keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran," jelasnya.
Beliau berkata, ia penting untuk pembangunan dan kemajuan negara kerana dalam ekonomi berasaskan pengetahuan hari ini, kemajuan sesebuah negara tidak lagi dinilai daripada segi pemilikan sumber asli atau modal fizikal yang banyak.
Menurutnya, kemajuan kini diukur daripada segi keupayaan negara melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang seterusnya mampu untuk memacu kemajuan negara melalui penciptaan dan inovasi.
Justeru, Muhyiddin amat mengalu-alukan penglibatan ASTRO yang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menyediakan kemudahan satelit bagi membolehkan saluran TV Pendidikan dipancarkan ke sekolah-sekolah di kawasan pedalaman di seluruh negara.
Menurutnya, kemudahan itu amat berguna khususnya di Sabah dan Sarawak yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan siaran televisyen biasa.
"Dengan kemudahan ini, hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar akan dapat tercapai," katanya.
Sementara itu, Badri berkata, Program Kampus ASTRO Bersama Komuniti Sekolah melibatkan peruntukan RM30 juta dalam tempoh tiga tahun bagi menyediakan alat dekoder dengan fungsi perakam, peti televisyen LCD dan akses kandungan pendidikan dan maklumat kepada lebih 10,000 buah sekolah.
"Kami di ASTRO percaya dengan teknologi satelit, infrastruktur penyiaran dan akses kepada kandungan kreatif yang terbaik dalam kelasnya dapat memainkan peranan merealisasikan visi memberi peluang pelajaran kepada lebih 5.2 juta kanak-kanak sekolah di seluruh negara," katanya.
Menurutnya, ketika ini fasa satu program itu melibatkan sebanyak 127 sekolah, 13 Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian dan 53 Pusat Kegiatan Guru dengan membabitkan 195 guru di Sabah dan Sarawak.
"Fasa dua akan meliputi kawasan Semenanjung Malaysia dan Pagoh adalah kawasan pertama yang akan menerima pemasangan ASTRO di bawah program ini," jelasnya.

Sunday, August 23, 2009

salam ramadhan

Marhaban Ya Ramadhan. Alhamdulillah pada tahun ini kita masih diberi kesempatan oleh Allah bertemu dengan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Marilah kita sama-sama mempertingkatkan amal ibadat dan ketaqwaan kepadaNya. Semoga kita beroleh sesuatu daripada Ramadhan tahun ini dan lebih baik daripada tahun sebelumnya. Insyaallah...
Salam Ramadhan Al-Mubarak...
Selamat Berpuasa...